Thursday 21 April 2011

'Patah Tumbuh Hilang Berganti'

Allahyarham Haji Ismail bin Haji Hamzah Guru Utama PSSSM I
(Adik kepada Pengasas Seni Silat Sendeng)

Pemergian Allahyarham Haji Hamid dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi keluarga sendeng seluruhnya. Perjuangan, pengorbanan dan jasanya terhadap Seni Silat Sendeng Malaysia mempunyai erti yang amat bermakna sekali terutama di dalam memperkembangkan SSSM ke beberapa negeri di tanah air. Berbagai cabaran, onak dan duri direntasi, ombak serta badai diharungi. Namun, yang pergi tetap pergi, yang tinggal sebagai pengganti. Perjuangan memartabatkan SSSM harus diteruskan. Bak kata pepatah 'Patah tumbuh hilang berganti'.

Haji Ismail bin Haji Hamzah, kemudiannya telah menerajui dan meneruskan perjuangan abangnya dan ditabalkan sebagai Guru Utama. Sebagai adik kepada pengasas (Haji Hamid) dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, sudah pasti memperjuang dan menyambung amanah SSSM tidak menjadi keberatan terhadap beliau.

Kebolehan dan ketokohan semulajadi berkat bimbingan ibu bapa,datuk-datuk dan abangnya, menambahkan lagi kekuatan dan semangat beliau untuk melayari bahtera sendeng mengharungi samudera yang penuh dengan seribu satu macam rintangan dan halangan.

Sejak kepimpinan Haji Ismail, SSSM telah didaftarkan pada 1992 dan kini bergerak dengan cergas di Johor , Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Kelantan, WP Labuan dan Sabah.

Beliau kembali ke Rahmatullah pada hari Jumaat, 22hb Mac 2002 bersamaan dengan 8hb Muharram 1423 setelah hampir 10 tahun bergelut dengan jerih perih, bagi memastikan ilmu persilatan ini kekal diwarisi. Sama-samalah kita berdoa semoga rohnta dicucuri rahmat Ilahi dan Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang Mukminun. Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment