Thursday 21 April 2011

Sejarah


Allayarham Haji Hamid bin Haji Hamzah
(pengasas Silat Sendeng Muar)

Penggerak atau pembimbing utama yang aktif menyebarkan pembelajaran Seni Silat Sendeng ini ialah Allayarham Haji Hamid bin Haji Hamzah, yang diwarisinya dari ninda-ninda beliau yang terkenal kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.

Beliau mula mempelajari ilmu kependekaran ini sejak berusia 5 tahun (1932) di bawah asuhan dan bimbingan nindanya sendiri Haji Hassan Bin Mahat yang dikenali pada zamannya dengan panggilan Haji Hassan Pendekar, mahir di bidang seni dan permainan alat silat seperti pedang, keris, tekpi, tumbuk lada, tembong, tuas, tongkat dan kerambit.

Sepuluh tahun kemudiannya beliau berguru pula dengan dua nindanya yang terkenal iaitu TAMAM DAGANG (terkenal dengan gelaran pendekar yang kebal dan gagah) untuk mempelajari pukulan / buah sendeng dan HAJI MOHD ARIFF BIN SHAMSU, bagi mendalami permainan Pukulan Tujuh Hari. Kedua nindanya yang terakhir ini telah berguru dengan seorang pendekar terbilang dan Pengasas Pukulan Sendeng iaitu LONG MAMAT yang menetap di Padang, Muar Johor Darul Takzim.

Dalam memantapkan ilmu keagamaan dan kerohanian pula beliau mempelajari dan mendalaminya dengan HAJI MOHD SALLEH BIN ABDUL KARIM yang terkenal dengan panggilan Kiai Salleh, Batu Pahat. Beliau mula mengembangkan ilmu persilatan sendeng ini secara individu di peringkat awalnya sekitar tahun 1950-an dan kemudian menamakannya sebagai ' Silat Sendeng Muar'.

Hampir 58 tahun, beliau mengharungi liku-liku dan pahit manis menyebar dan menggembangkan ilmu persilatan ini, demi mengekalkan kesinambungan warisan pusaka bangsa yang diwarisinya. Pada tanggal 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal, 1410 Hijrah, beliau kembali ke rahmatullah dalam usia 63 tahun.
Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment