Friday, 22 April 2011
Para Pengasas Perguruan Sendeng
Long Mamat
(Padang Muar)
Hj. Hamzah Bin Hj. Hassan (Bapa Hj. Hamid) bersama
Tok Taman Dagang (kanan)
Gambar kenangan 1935
Hj. Hassan bin Mahat ( Kanan) bersama
Hj. Hamid
Gambar kenangan 1937
Allahyarham Hj. Hamid bin Hj. Hamzah
(Pengasas Seni Silat Sendeng)
Thursday, 21 April 2011
'Patah Tumbuh Hilang Berganti'
Allahyarham Haji Ismail bin Haji Hamzah Guru Utama PSSSM I
(Adik kepada Pengasas Seni Silat Sendeng)
Pemergian Allahyarham Haji Hamid dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi keluarga sendeng seluruhnya. Perjuangan, pengorbanan dan jasanya terhadap Seni Silat Sendeng Malaysia mempunyai erti yang amat bermakna sekali terutama di dalam memperkembangkan SSSM ke beberapa negeri di tanah air. Berbagai cabaran, onak dan duri direntasi, ombak serta badai diharungi. Namun, yang pergi tetap pergi, yang tinggal sebagai pengganti. Perjuangan memartabatkan SSSM harus diteruskan. Bak kata pepatah 'Patah tumbuh hilang berganti'.
Haji Ismail bin Haji Hamzah, kemudiannya telah menerajui dan meneruskan perjuangan abangnya dan ditabalkan sebagai Guru Utama. Sebagai adik kepada pengasas (Haji Hamid) dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, sudah pasti memperjuang dan menyambung amanah SSSM tidak menjadi keberatan terhadap beliau.
Kebolehan dan ketokohan semulajadi berkat bimbingan ibu bapa,datuk-datuk dan abangnya, menambahkan lagi kekuatan dan semangat beliau untuk melayari bahtera sendeng mengharungi samudera yang penuh dengan seribu satu macam rintangan dan halangan.
Sejak kepimpinan Haji Ismail, SSSM telah didaftarkan pada 1992 dan kini bergerak dengan cergas di Johor , Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Kelantan, WP Labuan dan Sabah.
Beliau kembali ke Rahmatullah pada hari Jumaat, 22hb Mac 2002 bersamaan dengan 8hb Muharram 1423 setelah hampir 10 tahun bergelut dengan jerih perih, bagi memastikan ilmu persilatan ini kekal diwarisi. Sama-samalah kita berdoa semoga rohnta dicucuri rahmat Ilahi dan Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang Mukminun. Al-Fatihah.
Pengertian Seni Silat Sendeng
Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : -
· SENI – adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.
· SILAT – ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.
· SENDENG – merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring. Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi istilah, fizikal mahupun rohaniah. Dari segi istilah perkataan ‘Sendeng’ terdiri dari dua sukukata yang dicantumkan iaitu ‘SEN dan ‘DENG’.
· ‘SEN ‘ – singkatan dari perkataan ‘ Senggam ‘ bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.
· ‘DENG ‘ – (atau ‘ DING ‘ ) berasal dari perkataan ‘ Dinding ‘ iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan. Di sudut fizikal pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan pesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.
Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman ‘permainan jauh ‘ dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di ‘tujui’ nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ‘ Lam Alif ‘ yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ‘ permainan jauh’ itu sukar untuk dikesan.
Oleh yang demikian itu kedudukan ‘Sendeng ‘ merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, membuang dan menepis sebarang bentuk ‘musibah’ yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan “capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup”.
Sejarah
Allayarham Haji Hamid bin Haji Hamzah
(pengasas Silat Sendeng Muar)
Penggerak atau pembimbing utama yang aktif menyebarkan pembelajaran Seni Silat Sendeng ini ialah Allayarham Haji Hamid bin Haji Hamzah, yang diwarisinya dari ninda-ninda beliau yang terkenal kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.
Beliau mula mempelajari ilmu kependekaran ini sejak berusia 5 tahun (1932) di bawah asuhan dan bimbingan nindanya sendiri Haji Hassan Bin Mahat yang dikenali pada zamannya dengan panggilan Haji Hassan Pendekar, mahir di bidang seni dan permainan alat silat seperti pedang, keris, tekpi, tumbuk lada, tembong, tuas, tongkat dan kerambit.
Sepuluh tahun kemudiannya beliau berguru pula dengan dua nindanya yang terkenal iaitu TAMAM DAGANG (terkenal dengan gelaran pendekar yang kebal dan gagah) untuk mempelajari pukulan / buah sendeng dan HAJI MOHD ARIFF BIN SHAMSU, bagi mendalami permainan Pukulan Tujuh Hari. Kedua nindanya yang terakhir ini telah berguru dengan seorang pendekar terbilang dan Pengasas Pukulan Sendeng iaitu LONG MAMAT yang menetap di Padang, Muar Johor Darul Takzim.
Dalam memantapkan ilmu keagamaan dan kerohanian pula beliau mempelajari dan mendalaminya dengan HAJI MOHD SALLEH BIN ABDUL KARIM yang terkenal dengan panggilan Kiai Salleh, Batu Pahat. Beliau mula mengembangkan ilmu persilatan sendeng ini secara individu di peringkat awalnya sekitar tahun 1950-an dan kemudian menamakannya sebagai ' Silat Sendeng Muar'.
Hampir 58 tahun, beliau mengharungi liku-liku dan pahit manis menyebar dan menggembangkan ilmu persilatan ini, demi mengekalkan kesinambungan warisan pusaka bangsa yang diwarisinya. Pada tanggal 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal, 1410 Hijrah, beliau kembali ke rahmatullah dalam usia 63 tahun.
Al-Fatihah.
Subscribe to:
Posts (Atom)






